IshakSKitchen - Cerita + Pantun

Friday, 17 May 2013

Kato Abah Posan Omak


Pesanan Arwah Abah

SOROTAN CERITA : Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Seperti biasa setiap Jumaat akan saya luangkan masa untuk mengingati setiap pesanan dan didikan arwah abah. Bukanlah hari lain tak ingat. Sepanjang masa ingatan saya pada arwah Ibrahim bin Seri (Ibrahim bin Yazid) cuma pada hari Jumaat suka berkongsi dengan orang lain. Bukannya apa, manalah tahu kalau-kalau ada didikannya yang boleh pembaca manafaatkan. Bukankah hidup ini kita ambil yang baik-baik dari orang lain dan yang tidak dijadikan sempadan? Tambahan pula Jumaat hari penghulu hari. Bagus sekiranya kita berkongsi perkara-perkara yang baik-baik. Sebetulnya juga banyak perkara dalam hidup saya berlaku pada hari Jumaat. Seperti pernah saya notakan sebelum ini saya lahir pun hari Jumaat. Alhamdulillah dan mohon pada Allah SWT kalau nak jemput saya balik saya naklah balik hari Jumaat dan disolatkan sebelum solat Jumaat. YasinNYA saja yang Maha Mengetahui.

Di mukabuku pagi ini saya notakan ‘Arwah abah selalu kato 'tak lawa (kemas) jangan ikut abah'. Didikan ghengkas supayo selalu nampak komeh. Sampai lah sekaghang anak lelaki sey pulak pakai baju butang sampai ko lehe ! Moralnya penampilan kemas membentuk keyakinan diri dan secara langsung akan membuka peluang2 positif ? Jumaat lagi.’




Asas kehidupan saya sewaktu kecil kebersihan serta penampilan kemas sangat penting. MAK DARA super cerewet!!!! Kesusahan hidup tidak perlu ditambah dengan dalam keadaan comot dan tidak teratur. Nanti mengaibkan diri. Tak salah juga kalau orang berkata ‘ susah sangat keluarga sipolan, anak-anaknya comot’. Pasti bila mendengarnya kita akan sedih dan kalau diambil negatif mungkin kita marah. Salah siapa? Sepatutnya kita perlu sentiasa di dalam keadaan kemas dan bersih serta wangi. Pertama, ianya satu tuntutanNYA, keduanya bila nampak dimata masyarakat ianya akan menaikkan martabat kita. Paling tidak masyarakat akan berkata ‘kemas anak sipolan walaupun hidupnya susah’. Ha kan cantik ayat tu! Untuk dalam keadaan kemas pakaian tak perlu mahal. Kalau mahal pun tapi tak bergosok murah juga. Kalau kasut mahal tapi berdebu tak molek juga. Tapi bila sudah kemas dan cantik tapi bila bercakap menyakitkan hati orang lain tak guna juga. Kalau berbungkus litup menepati tuntutan Islam tapi hati tak baik tak guna juga. Kalau kaya raya rumah macam istana memandang rendah pada orang lain tak guna juga. Kalau berilmu dan tidak berkongsinya serta memandang orang lain sebelah mata tak guna juga. Islam itu sendiri pada HATI. Tak perlu susah-susah mendalami ilmu Allah SWT tapi hati tak cantik, rasanya penat saja?

Jadi bila sewaktu kecil kami susah tetapi penggosok arang tembaga menggosok baju yang sudah berkanji telah membantu membentuk satu penampilan baik. Bila penampilan dah cantik dilatih pula bertingkah laku penuh santun dan bertutur kata dengan perkataan terpilih. Secara langsung yang melihatnya pasti terpikat. Bila sudah memikat pastinya kita akan berhadapan dengan peluang hidup yang sungguh besar dan insha Allah yang baik-baik. Kalau di sekolah cikgu akan rasa sayang dan ingin melihat kita berjaya. Kalau pergi temuduga insha Allah mudah dapat kerja. Kalau berkerja mungkin majikan sayang kita. Kalau sudah berumahtangga mungkin mentua sayangkan kita. Tetapi bagi pembaca lelaki jangan pula bila sudah mendapat perhatian ingin berkahwin dua pula? Hahahaha peringatan untuk diri sendiri dalam gurau senda. Tapi kalau sudah tertulis di Luh Mahfudz Alhamdulillah. Ha ada juga gatalnya. Tapi insha Allah saya cuba elakkan sebab ‘sey SAYANG ISTERI SEY YANG PUTIH MELOPAK LAIE CANTIK’. Begitu juga dengan perempuan sama saja tetapi kalau sudah bersuami biarlah berpada takut pula ada menyimpan perasaan kepada orang lain walaupun sudah bersuami. Berdosa tu. Pastikan bila berhias perhiasannya jangan lebih dari tujuh. Boleh dikira mungkin cincin sebentuk, keronsang sepasang, seutas beg tangan dan teruslah mengiranya asalkan jangan lebih dari tujuh. Nak pasti lagi sila rujuk pada ustaz ustazah barang-barang yang jatuh dalam kategori perhiasan yang tujuh tadi takut saya tersilap pula. Tapi ambil mudah saja LESS IS MORE. Pasti cantik. Biarlah cantik dan kemas di dalam rumah bukannya cantik dan kemas bila nak keluar rumah. Kemaskan tempat tidur paling utama. Biarlah hidup serba sederhana tetapi mewah di tempat tidur. Mewah maksud saya cadarnya selalu bertukar, bilik kemas dan wangi pendek kata hebat semuanya. Bila ini kita jaga insha Allah kekal ijab kabulnya. Mesra selalu?

Apa yang saya tulis ini adalah apa yang saya lalui dan didikan serta apa yang saya lihat bagaimana MAK DARA dan arwah abah lakukan. Contohnya, MAK DARA tidak suka bilik tidur yang tidak kemas dan berbau yang tidak enak.

Cukup untuk kali ini assalam Jumaat dan sentiasa jaga HATI. Peringatan untuk diri saya dan semua. Assalamualaikum.

Renungan : Cantik betul Islam itu daripada seringkas-ringkas ajaran tetapi mampu membentuk satu modal insan cemerlang hanya pada menjaga kebersihan diri…Allahuakbar Mashallah.

 

Wednesday, 8 May 2013

Nak MAKAN Sebolum Mati


Buffet atau Ala Carte

 

SOROTAN CERITA : Bercerita pasal makan memang menarik. Mana tidaknya kerana hidup ini kita sentiasa makan. Allah SWT sampai menyuruh kita berpuasa sebulan dalam setahun. Rehatkan perut tetapi untuk menzuhudkan diri sebetulnya. Ramadhan pun rasanya kurang dari 70 hari lagi. Kalau di hotel ada buffet dan juga ala carte. Waktu muda perghhh…..buffet the best tapi bila usia dah tambah ala carte lebih menarik. Makannya teratur….ada style.

Begitu juga dengan hidup ini, masa muda semua benda nak buat dan tiada aturannya. Bila dah berumur kita bertambah bijak. Setiap yang kita lakukan sudah tersusun. Insha Allah.

Nak apa lagi?

Nak belajar ilmu dunia dahpun habis belajar. Alhamdulillah.

Nak kerja dahpun berkerja. Alhamdulillah.

Nak duit adalah sikit. Alhamdulillah.

Nak pakai cantik dapatlah beli sehelai dua. Alhamdulillah.

Nak enjoy pun sudah. Alhamdulillah.

Nak kereta dah pun berkereta tapi masih bank punya. Alhamdulillah.

Nak kahwin dahpun kahwin. Cantik orangnya. Alhamdulillah.

Nak rumah dah juga ada dan masih bank punya. Alhamdulillah.

Nak anak dahpun ada anak. Comel semuanya. Alhamdulillah.

Nak melancong ada jugalah sedikit. Alhamdulillah.

 

Macam-macam nak lah kalau nak ditulis. Tapi semuanya PINJAM. Persoalannya…NAK apa lagi ya? Rasanya sudah cukup dan sekarang terus panjatkan doa supaya Allah SWT izinkan pula diberi peluang mengenaliNYA. Mohon dipanjangkan umur untuk terus mencariNYA dengan tawaduk.

 
Patutlah bila dah berumur kita kembali menjadi budak kecil kerana mahu mengetahui banyak perkara tetapi disebalik kepada yang di atas tadi. JanjiNYA menyatakan supaya mengenali diri sendiri dulu baru kita akan kenalNYA. Mula-mula kurang jelas tapi lama kelamaan baru faham. Benar kata arwah abah bahawa satu hari nanti saya akan rasa manisnya hidup. Belum merasai sepenuhnya tetapi ada kala terasa dan ada  kala tidak rasa gula hidup ini. Ilmu cetek yang saya ada dan yang saya faham setiap apa yang berlaku pada setiap saat telah ditentukanNYA. Qada dan Qadar ? Rupa-rupanya, kita perlu sentiasa berdoa dimulut, akal dan juga hati kerana setiap perkataan yang kita luahkan, fikirkan, rasakan adalah doa. Dimatikan kita sementara waktu disetiap malam rupanya latihan. Syukur Alhamdulillah masih dibangunkan setiap pagi. Takut juga kalau-kalau waktu tidur lepas itu tidak bangun lagi. Barulah faham juga kenapa kita disuruh untuk sentiasa ingat mati supaya hidup kita lebih fokus. Kerja kita lebih amanah. Amanah kepada isteri dan anak-anak lebih teratur dan ikhlas dan sebagainya. Benarlah bahawa untuk mengenal diri kita harus mampu memerintahkan diri kita untuk memerintah mulut, akal dan hati terlebih dahulu dan secara langsung barulah seluruh anggota badan akan mengikut arahanNYA.  Lapangkan dada. Tak usah sesakkan nafas yang tidak memberi faedah kepada kesihatan kita. Nikmat hidup dalam erti kata kebahagian/keberkatan hidup yang dijanjikanNYA adalah bilamana kita boleh tidur nyenyak walaupun bertikar mengkuang berbantal lengan, tenang walaupun banyak dugaan dan cabaran, ramai kawan, enjoy makan walaupun nasi putih dan ikan masin dan dimakbulkan doa yang mungkin kita tidak sedar. Membuang air kecil pun berlaku hanya kerana izinNYA. Begitulah halnya dengan perkara-perkara yang lain.Wallaahuallam.

 

Renungan : Tak usah kita berdebat dengan Qada dan QadarNYA. Teruskan hidup dan kumpullah sebanyak mungkin dunia dan akhirat mengikut adab serta tertibNYA. Insha Allah. Amin.

 

 

Tuesday, 7 May 2013

Sudah-sudahlah Yo....


Luahkata Gambarandiri

 
SOROTAN CERITA : Membaca dan menulis. Tak membaca saya tak boleh sarapan. Tabiat ini sedikit sebanyak membuatkan saya banyak berfikir. Barulah faham kenapa kita digalakkan membaca. Lebih banyak kita membaca lebih banyak kita memahami sesuatu. Cuma berhati-hati kerana ianya juga boleh membuatkan kita faham apa yang kita mahu faham atau kita betul-betul memahami. Jika kita pilih yang pertama mungkin kita akan beremosi bila menulis juga bercakap tetapi bila kita memahami kita akan lebih rasional dan insha Allah kita akan bercakap dan menulis dengan perkataan terpilih. Bilamana kita menulis mahupun bercakap secara langsung ianya akan mengambarkan diri kita. Mungkin tidak benar 100% tetapi besar peratusannya kerana ia mengambarkan diri kita pada orang lain tanpa perlu kita ceritakan latarbelakang kita. Tidak saya minta nota saya ini dipersetujui tetapi cukup untuk difikirkan.

Percayalah bahawa hidup kita akan banyak dipengaruhi dengan apa yang kita dengar dan kita lihat. Kalau itu yang kita hendak tetapi dalam masa sama apa yang kita dengar dan lihat mampu juga membuatkan kita berfikir. Seperti yang telah saya notakan di dalam bukumuka pagi ini.

‘Mengusik NHSahara yang sedang berbedak pagi ini dengan muka tersenyum sambil terkebil tanpa kacamata melihat mukanya seinci dekatnya dengan cermin. Usik saya 'hai lah cermin, siapakah paling cantik di dalam rumah ini?'... Gembirakan anak2 dengan luahkata ringkas !

Mungkin pembaca akan berkata apalah yang saya merepek ni. Apa kena mengena dengan sorotan cerita di atas. Saya tak salahkan pembaca kerana itulah yang pembaca faham dari tulisan tersebut. Tetapi bagi saya ianya lebih dari itu. Semua yang saya tulis di atas adalah luahan hati saya yang sedih setiap kali saya melihat anak kecil saya NHSahara yang baru berumur 6 tahun lebih. Dia dilahirkan dengan rabun mata yang agak teruk. Setiap kali dia tanpa kaca mata begitu sedih dan kasihan saya melihatnya. Sebaik lepas mandi berlari-lari mencari kacamata dahulu. Sebaik bangun tidur gopoh gapah mencari kacamatanya. Sebaik tersedar tidur di dalam kereta perkara pertama dia akan tanya ‘cermin mata Ara mana’. Pertama kali pakai kacamata masa berumur 2 tahun dan bila melihat saya buat pertama kalinya katanya ‘ oooooo….inilah daddy Ara’. Banyak lagi kalau mahu saya tuliskan.

Di sinilah maksud saya seperti juga yang saya tulis dimukabuku pagi tadi ‘Suka duka disekeliling kita cuma perlu pilih. Matahari pagi ini cantik betul dan saya jadi gembira keranaNYA.’

Jadi bagaimana sekarang? Pembaca faham sudah maksud nota saya kali ini? Pujian yang saya berikan pada anak saya tersebut di atas juga mampu mempositifkan diri saya dan secara langsungnya juga mampu mempositifkan anak saya. Kecantikkan juga membuatkan kita berkeyakinan tinggi tetapi jangan sampai bongkak pula. Keyakinan ini juga mampu membuatkan anak saya rasa yang dia pun sama seperti orang lain. Bila anak saya gembira pasti perjalanan ke sekolahnya pagi ini dengan berlapang dada. Bila dadanya lapang pasti dia gembira untuk melakukan pembelajarannya dengan baik. Paling mudah cakap bila kita gembira pasti kita tersenyum. Senyum itu adalah antara sedekah yang termurah yang boleh kita berikan pada manusia yang melihat kita. Tulisan serta luahkata kita juga mampu membuatkan orang lain tersenyum dan lebih hebat dapat mengembirakan orang lain pada hari tersebut. Mungkin ini satu contoh kecil? Rabun bukan satu isu besar zaman sekarang tetapi moralnya dari sekecil-kecil masalah kalau kita positifkan pasti kita mampu berterusan mempositifkan masalah yang lebih besar? Di sinilah maksud saya bahawa apa yang kita tulis dan ungkap akan mengambarkan diri kita. Tetapi ada kala kita akan celupar mulut juga. Hah itu bukti Allah SWT bahawa kita ini manusia. PELUPA. Yang saya notakan lebih kepada latihan diri supaya berhati-hati dalam meluahkan kata serta menulis kerana kita tidak tahu bilamana kita menyakiti hati orang lain. Masalah besar tu kalau menyakiti hati orang. Kalau kita kenal boleh juga minta maaf. Kalau tidak bagaimana?

Tulisan ini saya catatkan sebab dimukabuku sekarang ini hebat dengan kata mengata dan memanjangkan fitnah. Sepatutnya menjadi medan kita menulis dengan baik sudah menjadi medium caci mencaci. Kita semua berpelajaran insha Allah kita boleh lakukan. Luahkan perasaan negatif kita dengan positif. Jangan kita merendahkan diri kita. Terpercik dimuka sendiri aibnya. Mari kita menulis dan mengembirakan hati kita semua.

Mari berfikir, AKALkan OTAK kita?


Renungan : Tajam tulisan boleh dipadam, tajam kata hati disakiti. Salah tak dimaaf kita diperitNYA! Santunkan diri dengan bersopan santun tingkah juga kata.
 Insha Allah. Amin.

Friday, 3 May 2013

Konyang Makan Banggang Jadi EH!


Lupa?

 


SOROTAN CERITA : Kecik-kecik dulu tak boleh bayangkan punyalah penakut. Ops…assalamualaikum dan selamat sejahtera! Ok sambung balik. Zaman kecil saya sangat menarik walaupun kami orang susah. Makan pakai pun ala kadar tapi gembira. Yelah zaman tak ada teknologi. TV pun tv peti yang pintunya berselak. Sebelum tu tak ada tv pun. Harapkan belas ikhsan jiran. Tak usahlah cerita yang buruk cerita yang baik-baik saja. Tetapi disebabkan layanan masyarakat sekelilinglah buatkan saya berjanji untuk maju dalam hidup. Tapi tak boleh juga maju kalau tidak diberi peluang seperti sekolah, biasiswa dan sebagainya.

Berbalik cerita pasal penakut tadi, rumah kami kuarters zaman peninggalan British. Ada court yard didalam rumah. Pernah satu malam MAK DARA tinggalkan saya di court yard tu sebab saya ada buat kesilapan rasanya tapi tak ingat. Ha…menangis ketakutan. Juga tandas rumah dulu-dulu atapnya berasingan dan kena melalui court yard tersebut. O…mak oii memang tiap kali sakit perut memang takut nak ke bilik air. Tu tak kira lagi pengalaman jamban angkut……gelap, terasing dan baunya kalau tak diangkut ikut jadual….mak datuk! Lama kelamaan arwah abah atapkan court yard tu untuk mendapatkan ruangan dalaman yang lebih sedikit dan menjadi ruang makan kami.

Sambungan di court yard tu arwah abah jadikan dapur. Dapur kayu!!! Saya dan MAK DARA selalu keluar kekilang papan atau pun ke hutan untuk mencari kayu untuk menyalakan api untuk memasak. Uish sedap masakan yang masak guna api kayu. Ndak-ndak guna kayu getah!

Perjalanan pulak dari satu tempat ke satu tempat makan masa. Jalan kurang baik, kemudahan awan kurang, komunikasi melalui talipon tiang di pekan. Moralnya cerita serba serbi kekurangan tetapi masyarakatnya SATU MALAYSIA. Serba serbi kekurangan tetapi gembira. Serba serbi kekurangan bersekolah juga walaupun berjalan hampir 3 batu rasanya. Serba serbi kekurangan dibekalkan juga ilmu agama. Serba serbi kekurangan diajar hormat menghormati. Serba serbi kekurangan diajar tutur kata. Serba serbi kekurangan sentiasa ibubapa menjaga tepi kain orang lain jadi kami tak boleh nakal dan bertindak luar batasan pasti akan ketahuan oleh ibubapa. Serba serbi kekurangan masyarakat begitu bersatu TETAPI sekarang serba mewah sehinggakan semuanya dihujung jari dan kita semua telah berpecah dimana agama menjadi permainan lidah. Saya sedih memikirkan masa depan generasi masa depan termasuk anak-anak saya. Saya merayu kita yang ada ‘bin’ dan ‘binti’ dan juga bersyahadah marilah kita bersatu ! Amin.


Renungan : Jangan biarkan diri kita semua dipertelagahkan. Akalkanlah otak kita. Peganglah pada asas hidup. Rapatkan saf insha Allah sillaturrahim kita akan terus kukuh dan utuh. Bersihkan HATI kita dulu insha Allah kita akan bersatu dan berbaik sangka.

Thursday, 18 April 2013

Jongok Omak Selalu


MAK DARA Mengharungi Umur Bonus




SOROTAN CERITA : Isu politik di mana saja – disurat khabar, berita tv & radio, dikedai kopi, di tempat kerja dan di mana saja. Bazir masa membincangnya? Pasti tidak tetapi jangan sampai mengaibkan orang lain. Biarkan mereka dengan tugas mereka dan kita dengan tugas kita.

Sebetulnya semua kita terlibat dalam politik. Politik adik beradik, politik pejabat dan macam-macam politik. Politik negara satu bidang yang bukan kemahiran saya. Setakat baca, lihat dan dengar saja. Tak mudah menguruskan anak 5 orang seperti saya dan begitu juga agaknya dengan pemerintahan negara.

Politik yang nak saya ceritakan disini, politik kita sebagai anak kepada ibubapa. MAK DARA saya sudah 82 tahun. Alhamdulillah, umur bonus. Alhamdulillah sekali lagi kerana setakat hari ini beliau masih sihat kecuali demam dan sakit-sakit biasa sekali sekala. Dapat ke rasanya saya capai umur begitu?  Insha Allah.

Kita sebagai anak, setiap kali menziarah cuba kita lihat dengan dekat rupa paras ibu kita dari hujung rambut sampai hujung kaki. Beruban rambutnya. Benar itu isyarat sudah tua tetapi mungkin banyak berfikir sewaktu muda bagaimana nak membesarkan anak-anak? Kita lihat matanya. Aduhai penat sungguh mata ibu kita. Sepasang mata itulah juga yang berjaga malam menjaga kita semasa bayi dan semasa kita sakit. Tidurnya dikorbankan dan awal pagi telah bangun semula menguruskan kita. Kemudian kita pegang tapak tangannya. Terharunya tangannya kasar dan berkedut. Tangan itulah yang berkerja menguruskan kita dan mungkin banyak berendam dalam air kerana melayan kita sewaktu kecil yang suka bermain air dan sebagainya. Dikorbankan pula kesihatannya diwaktu muda. Kita mungkin ternampak pecahan diperutnya. Perut itulah yang mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari, berat, penat, sesak nafas dan mungkin bersabung nyawa. Lihat seterusnya pada kekuatan kakinya. Alahai dah mengigil. Kaki itulah yang menampung kita sewaktu dia mendukung kita yang sudah pandai berjalan tetapi mengada-ngada minta didukung. Banyak lagi kalau hendak kita perhalusi tetapi saya yakin pembaca faham maksud saya. Akhirnya, kita lihat ibu kita keseluruhannya. Sedih melihat sudah bongkok tiga kerana sewaktu kita baru bertatih ibu terpaksa membongkokkan badan untuk mengajar kita berjalan dan dalam masa sama cukup berhati-hati sambil membongkok supaya kita tidak jatuh. Tubuh berusia itulah yang telah mengandungkan kita, bersengkang mata membesarkan kita, membanting tulang memastikan kita cukup makan dan pakai dan sebagainya. Ibubapa sentiasa berkorban apa saja demi kebahgiaan anak-anak. Persoalannya sekarang, wajarkah kita berkasar padanya dan menghantarnya kerumah orang-orang tua kerana alasan kita sibuk berkerja? Catatan ini adalah peringatan kepada diri saya sendiri.

 

Renungan : Ibu akan sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk kesejahteraan anak-anak dan sentiasa berdoa supaya dipindahkan penyakit anak-anak kepada mereka. Anak-anak juga tidak dinafikan berdoa juga untuk ibubapa tetapi mendoakan supaya Allah Taala mengambilnya secepat mungkin bila ibu sakit terlantar sakit tanpa daya demi belas kesian. Tetapi alangkah baiknya kalau kita juga boleh berdoa seperti ibu kita supaya dipindahkan kesengsaraan ibu kita kepada kita pula?

Monday, 25 March 2013

Tolo Dulu Ko? Ayam Dulu?

UTAMAKAN KEUTAMAAN

SOROTAN CERITA : Telur dulu ke ayam dulu? Rasanya ramai antara kita diberi persoalan ini dimana kita akan berbincang dengan panjang lebar tetapi jawapannya tetap tergantung. Yang penting ini adalah antara bukti kekuasaan Allah SWT.
 








 
Begitu juga bila memasak, resepi yang sama pengolahan yang berbeza pastinya rasa berbeza. Kemudian kita akan kata 'kenapa ya rasa yang saya masak lain padahal ramuannya sama?' Disinilah pentingnya kita memahami setiap satu ramuan masakan tersebut. Bila kita faham ramuan mana yang mudah empuk, ramuan apa yang boleh kemudian, ramuan apa didahulukan, apinya panas tahap mana, pasti hasilnya terbaik. Begitu juga dengan setiap kerja yang kita lakukan. Berilah keutamaan dan utamakan perkara-perkara penting dulu untuk kerja kita terus maju kehadapan.
 
Disinilah penting menjadi ketua sebuah rumahtangga. Sama juga untuk menjadi ketua disebuah organisasi. Menjadi seorang ketua adalah hanya untuk membuat sesuatu keputusan tepat pada waktu. Orang bawahan dilatih dengan baik supaya bila cadangan sampai dimeja ketua keputusan dibuat dengan pantas tetapi jika sebaliknya, di sinilah letaknya tugas seorang ketua membentuk dan mengajar orang bawahan supaya membuat kerja dengan betul, teratur dan dalam jangkamasa yang telah ditetapkan. Memasak juga begitu, kalau terlebih masak mungkin terlampau empuk, kalau cepat sangat mungkin belum empuk dan sebagainya.
 
Dimana kita? Perlu diingat semua kita adalah seorang ketua. Ketua mengajar orang bawahan supaya membentuk minda yang hebat dimana sentiasa mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Begitu juga memasak, Kalau ramuannya tak ada carilah ramuan yang mungkin boleh memberi rasa yang sama atau yang hampir sama.
 
Renungan : Kreativiti penting supaya setiap yang kita lakukan menyeronokkan dan hasilnya terbaik!
 
 

Friday, 22 March 2013

Nasi Bukhari


RAMUAN KEHIDUPAN
 
SOROTAN CERITA : Nasi Bukhari sedap juga dimana saya ada mencubanya dan anak isteri pun suka kerana ianya ringan dan ringkas walaupun ramuannya bermacam-macam.




Begitu juga dengan kehidupan ini ramuannya banyak tetapi kalau kita faham setiap aturan serta sentiasa muhasabah inshallah ianya jadi ringan dan mudah serta seronok diharungi walaupun diselang seli dengan dugaan. Dugaan itu satu kemewahan  bagi yang melaluinya. Mudah bercakap tetapi susah untuk memikulnya. Tapi kita perlu melihat setiap dugaan itu dengan positif. Cantik serta indahnya gunung ganang, lautan, padang pasir tetapi isinya bermacam-macam. Lihatlah kecantikanya keseluruhannya pasti kita lupa kepada bahaya yang ada didalamnya. Begitu juga dengan kehidupan lihat keseluruhan pasti bila menempuh dugaan kita pasti boleh mengharunginya dengan tabah. Inshallah.

Sejak akhir-akhir ini rasanya 24jam sehari bagaikan tak cukup. Makan tengahari pun lewat. Maklumlah 3 minggu cuti sakit kerana Allah SWT sayangkan saya agaknya. Bukanlah perasan tetapi kan dah dijanjikan sakit membantu menghapuskan dosa terutama saya yang jahil ini. Maklumlah kita manusia yang pelupa mungkin secara sedar mahupun tidak dalam mengharung kehidupan mungkin ada perkara-perkara subhah, menyakiti hati orang dan juga melakukan perkara-perkara yang membuat Allah SWT murka. Walaubagaimanapun Allah SWT begitu belas sehingga pintu taubat tidak pernah tertutup. Untuk mendapatkan pahala tidak perlu menggunakan wang tetapi untuk mendapatkan dosa pasti kita harus melabur. Yang tanpa perlaburan begitu susah kita lakukan tetapi yang perlu mengeluarkan wang untuk mendapatkan dosa mudah kita lakukan. Mohon pembaca fikirkan contohnya sendiri bagi mengelakkan saya menulis perkataan yang menyentuh hati. Saya mohon maaf kerana dalam pembaca memikirkannya berkemungkinan besar menyentuh hati juga. Maaf saya pohon sekali lagi. PERINGATAN buat diri saya yang lemah. Begitu terasa hinanya kita manusia ini tetapi Allah tetap membukakan pintu taubatnya. Allahuakhbar.

Selang beberapa hari saya dimasukkan ke wad, kawan sepejabat pula masuk ke wad. Ralat rasa hati tidak dapat melawat dan dapat berita telah pun Allah SWT jemput PULANG. Pada hari kebuminya pun tak sempat menziarah buat kali terakhir kerana jenazah dikebumikan awal. Rezekinya begitu hebat dan PULANGnya mudah dari cerita isteri arwah. Hebat sungguh kerana isterinya sungguh redha dengan janji Allah SWT yang sudah tertulis sejak dari Luh Mahfuz lagi. Alhamdulillah.

Dalam kita mengharung hidup pastinya ada masanya kita terluka dengan tindakan serta kata-kata orang sekeliling tetapi berfikiran positif saja pengubat luka. Seperti kata saya didalam facebook saya baru-baru ini bahawa teramat bertuahnya kalau Allah izinkan antara kita tinggal di rumah berharga RM5juta dan berkereta nilaian RM300ribu tetapi adakanlah sedikit tanda hormat kepada ramai lagi hidupnya yang tidak seperti itu. Bila kita bersujud pasti dahi kelantai juga dimana maknanya tanah ke tanah juga memandangkan kita berasal dari tanah. Tiada lahad bernilai jutaan ringgit. Peringatan untuk diri sendiri.

Hidup saya ringkas untuk menjemput rezeki yang sudah Allah SWT tuliskan dan teruskan memanjatkan doa supaya mendapat yang baik-baik serta di redhai. Mohon Allah SWT memandang kita dengan penuh rahmatNYA. Makbulkanlah dan inshallah. Berpegang kepada janji ini berbuat baiklah sebaik mungkin dan semampunya. Sebagai manusia kita mudah lupa. Senyum selalu pasti hidup kita meninggalkan kesan positif kepada orang sekeliling dan bukannya meninggalkan kesan negatif. Berdosa pada Allah SWT boleh kita mohon ampun terus padaNYA tetapi berdosa pada manusia?

Kata hati banyak membantu dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran. Kalau kata hati mengatakan kita harus membantu sipolan sipolan bantulah setakat yang mampu tetapi yang sudah dibantu usah pulak menganiaya kepada sipolan yang telah memberi bantuan. Niat perlu diperbetulkan. Berhati-hati……..tajam pensil bila tersilap menulis pasti mudah kita memadamnya tetapi tajam kata-kata sesama manusia kalau terusik sekeping hati dan tidak dimaafkan pasti hidup kita sia-sia………peringatan lagi buat diri saya.

 

Renungan : Lebih baik kurang ilmu akademik tetapi berilmu ILMUNYA dari menjadi hero akademik tetapi tidak BERILMU tetapi sangat terpuji dan hebat bila cerdik akademik dan BERILMU serta merendahkan diri. Bersyukur sebanyak mungkin. Kadang-kadang udara yang kita bernafas ini pun terlupa untuk kita syukuri. PERINGATAN sekali lagi.